KEMENANGAN pasukan Johor Darul Takzim (JDT) selepas menewaskan PKNS FC dengan kemenangan 2-1  pada final Piala FA semalam benar-benar disambut meriah oleh rakyat Johor.
Berita mengenai kejayaan skuad Harimau Selatan itu juga membuatkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengisytiharkan cuti khas peristiwa di seluruh Johor.
Paling gembira, sudah tentulah Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tuanku Ismail Sultan Ibrahim yang berkongsi perasaan bangganya terhadap perkembangan kelab bola sepak miliknya itu dengan ‘menghadiahkan’ sebuah klip video khas.
TMJ menerusi kemaskini terbaharu di laman sosial Facebook Johor Southern Tiger memuat naik video pendek memaparkan aksi bersahajanya yang dilihat agak lucu oleh netizen, seoalah-olah mahu menyatakan kepada semua, “Trofi ini JDT punya”.
Dalam video berdurasi 52 saat itu TMJ dilihat berjalan perlahan-lahan menuju ke trofi piala FA 2016 sebelum menepuk-nepuk trofi itu disusuli senyuman puas.
Rata-rata netizen terhibur dengan aksi ‘troll’ itu biar pun ada juga yang menganggap perkara tersebut agak keterlaluan.
Bagaimanapun, ramai yang menyifatkan aksi TMJ ini telah membuatkan arena bola sepak tempatan bertambah rancak sekaligus membuat lebih ramai peminat tempatan akan mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia. Bak kata pengguna Facebook Al Amin;
“Sama ade kite perasan atau tidak.. Bile TMJ selalu buat mcm ni (menganjing).. Sebenarnya benda ni membakar lagi semangat kepada pasukan-pasukan lain untuk mengalahkn JDT… Maka ia akan lebih merancakkan lagi arena bola sepak Malaysia… Tapi ape pun aku pun tergelak jugak tengok reaksi Muke TMJ tu.. Huhuhu,” tulisnya. – MYNEWSHUB.CC