PASANGAN suami isteri warga Australia dikurniakan sinar baharu dalam hidup mereka setelah kehilangan tiga anaknya dalam nahas tragedi MH17 pada 17 Julai 2014 lalu.
Menurut laporan stesen ABC News, Anthony Maslin dan Marite Norris dianugerahkan seorang cahaya mata iaitu Violet May Maslin pada 11 Mei lalu.
Kehadiran Violet menyinari hidup mereka setelah kehilangan Mo, 12; Evie, 10; Otis, 8; dan ayah Marite iaitu Nick Norris apabila pesawat Malaysia Airlines Berhad itu ditembak di Ukraine dua tahun lalu.
Menurut Marite, ketiga-tiga anaknya bersama ayahnya Nick Norris dalam penerbangan pulang ke Perth, Australia dari Amsterdam, Belanda semasa kejadian itu berlaku.
Jelas pasangan itu dalam satu kenyataan, tragedi MH17 telah meragut ahli keluarganya akibat ditembak peluru berpandu.
Walaupun masih terasa perit, namun kehadiran Violet telah mengukuhkan lagi kepercayaan mereka bahawa kasih sayang lebih kuat daripada rasa amarah.
Menurut pasangan tersebut, walaupun mereka hidup dalam ‘kesakitan’, Violet diibaratkan cahaya yang menerangi kegelapan.
Pada masa sama memetik kata-kata Martin Luther King: “kegelapan tidak boleh mengusir kegelapan, hanya cahaya yang mampu mengatasinya, kebencian tidak boleh menghapuskan rasa benci, namun kasih sayang mampu melenyapkannya.” – MYNEWSHUB.CC