ARIZONA – Gara-gara tidak dapat menahan keinginannya untuk membuang ‘hajat’, seorang wartawan di Amerika Syarikat ditahan polis selepas dilihat membuang air besar di kawasan rumah seorang suspek.
Ketika itu, Jonathan Lowe, iaitu wartawan dari rangkaian televisyen KPHO di Phoenix sedang menunggu suspek untuk mendapatkan maklumat terkini.
Menurut laman Huffington Post, Lowe bertindak sedemikian kerana sudah tidak tahan untuk membuang air besar sebelum melepaskannya tahinya di kawasan laman rumput rumah milik suspek dalam satu kes.
Bagaimanapun insiden itu dilihat oleh seorang saksi sebelum bertindak melaporkan kepada pihak polis.
“Lowe memilih laman rumah itu untuk membuang air besar.
“Seorang saksi yang kebetulan melihatnya melaporkan hal itu kepada kami,” kata seorang jurucakap polis dikenali sebagai Lisa.
Gambar penangkapan Lowe ketika insiden itu turut dirakam oleh sebuah laman berita, FTVLive.
Atas kesalahan Lowe itu, dia boleh dihukum denda sebanyak AS$2,500 (RM10,237) dan boleh dipenjara selama enam bulan.
Dalam pada itu, editor FTVLive, Scott Jones turut meluahkan rasa hairannya kerana kes Lowe tidak disiarkan di mana-mana media kecuali mereka.
Difahamkan, ketika kejadian berlaku Ahad lalu, Lowe dilaporkan sedang menyiasat kes seorang lelaki menganiaya anjing dengan membunuhnya untuk memberi korban kepada Tuhan. – MYNEWSHUB.CC