VOKALIS kumpulan Slam, Zamani meluahkan hasrat mahu menunaikan umrah hujung tahun ini.
Selepas melalui beberapa detik hitam dalam hidupnya Zamani, 45, gembira kerana masih diberi peluang kedua dan diterima baik oleh peminat dan masyarakat selepas bersalah memiliki dan mengambil dadah tahun lalu.
Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim memberitahu sebuah akhbar hasrat murninya itu dan berharap semua pihak mendoakan agar ianya menjadi kenyataan.
“Saya pun sudah berusia 45 tahun, masih belum dapat ke Makkah sama ada mengerjakan umrah atau ibadah haji. Sekiranya diizinkan Allah SWT saya bercadang untuk mengerjakan umrah hujung tahun ini. Diharapkan semua pihak mendoakan agar ia jadi kenyataan,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Gerimis Mengundang ini, dia ingin membawa bersama kakak dan abangnya serta melaksanakan upah umrah untuk arwah kedua-dua orang tuanya.
€œ”Saya nak hargai mereka yang banyak bersusah payah untuk saya. Sekiranya ada rezeki lebih, saya juga berhajat nak buat upah umrah untuk arwah ibu dan bapa saya,” katanya.
Jelas Zamani, hasrat itu timbul selepas mendapat rawatan di Rumah Pengasih.
Selain itu seperti lelaki-lelaki lain, Zamani turut berkeinginan mahu dirikan rumah tangga dan berharap peminat mendoakannya supaya cepat bertemu jodoh.
“€œBohonglah kalau saya kata tidak teringin berkahwin. Cuma, calon isteri perlu menerima saya seadanya. Saya minta peminat mendoakan saya bertemu jodoh dan terus sukses dalam karier,” katanya. -MYNEWSHUB.CC