SAN FRANCISCO – Tujuh orang dimasukkan ke hospital dengan sekurang-kurangnya dua daripada mereka kritikal selepas ditikam ketika perhimpunan neo-Nazi di bangunan ibu pejabat negeri California.
Jurucakap Jabatan Bomba Sacramento, Chris Harvey, berkata perhimpunan pelampau kulit putih itu bertembung dengan tunjuk perasaan membantah pergerakan itu. Jabatan itu menyiarkan di Twitter sebahagian pesakit mengalami kecederaan kritikal akibat ditikam.
Tidak dapat dipastikan mereka daripada kumpulan mana. Menurut akhbar Sacramento Bee, kejadian tikam-menikam itu berlaku antara 25 anggota neo-Nazi dan lebih 150 golongan anarkis dan antifasis.
Video dan gambar yang disiarkan di internet menunjukkan mereka semakin mengganas dengan sebahagian mereka memukul yang lain dengan kayu besbol atau kayu manakala yang lain membaling batu.
Seorang lelaki kulit hitam yang cedera dan berlumuran darah kelihatan terbaring di kaki lima dan dirawat rakan. Seorang lelaki kulit putih dengan darah menitis daripada kepala pula diiringi polis dalam satu lagi video disiarkan CNN.
Acara itu dianjurkan kumpulan pelampau kulit putih, antipendatang dinamakan Traditionalist Worker Party. – AFP/BH ONLINE