KUMPULAN Akim & The Majistret akan berangkat ke tanah suci pada hujung bulan ini bagi menunaikan umrah dan mungkin terus menyambut Aidilfitri di sana.
Menurut vokalis kumpulan itu Akim Ahmad, rezeki yang diperoleh selama ini membuatkan mereka mahu menjejakkan kaki ke Makkah bersama-sama.
“Saya pernah ke Makkah bersama keluarga, tahun ini saya pergi bersama rakan kumpulan pula selama dua minggu. Kami mahu keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini.
“Saya bukan tidak mahu bawa Stacy tapi biarlah dia belajar satu persatu dahulu. Dia baru saja memeluk Islam, kalau boleh biarlah dia lancar membaca Al Quran dan kami akan pergi bersama-sama nanti,” kata Akim kepada Harian Metro.
Akim menambah, dia dan ahli kumpulannya juga mungkin akan menyambut Aidilfitri di Makkah kerana mereka merancang untuk memanjangkan tempoh ziarah kelak.
Stacy akan beraya bersama keluarganya di Johor jika rancangan itu jadi kenyataan. – MYNEWSHUB.CC