ALOR SETAR – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Negeri Kedah menahan seorang lelaki warga Thailand dan merampas sepucuk pistol jenis Baretta dalam satu sekatan jalan raya di sempadan Bukit Kayu Hitam, malam tadi.
Komander Aksem Kedah, Supt Abd Latif Abd Rahman berkata kejadian kira-kira 8 malam itu, lelaki berusia 30-an tersebut sedang dalam perjalanan ke Changlun dengan menunggang motosikalnya sebelum ditahan anggota Aksem yang sedang membuat pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan, kami menjumpai pistol terbabit yang disimpan di dalam poket seluar suspek selain turut menjumpai beberapa butir peluru hidup bersaiz 9 milimeter. Selain itu, kami turut merampas sebuah motosikal, telefon bimbit dan pasport milik suspek.
“Ketika ditahan, berlaku pergelutan apabila suspek bertindak agresif semasa anggota Aksem hendak memeriksa suspek namun tindakan pantas anggota yang bertugas, berjaya mengawal keadaan dan merampas pistol yang disembunyikan suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Abd Latif, suspek diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk siasatan lanjut. – BERNAMA