LIMA tahun menjalani hukuman penjara akibat terjebak dalam kancah najis dadah, ternyata memberi 1001 pengajaran buat vokalis kumpulan Spring, Ameng.
BACA: Bebas Dari Penjara, Ameng Menangis Jumpa Keluarga
Berkongsi detik hitam dalam hidupnya itu, Ameng atau nama sebenar Wan Aminuddin Wan Ismail, memberitahu, disebat rotan secara serentak sebanyak 10 kali ketika berada di Penjara Kluang, Johor merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
“Apa yang paling tidak boleh dilupakan apabila saya menerima hukuman sebatan 10 rotan yang dijalankan secara serentak.
“Kesakitan yang ditanggung tidak dapat dibayangkan dan terasa seperti hendak mati.
“Saya tidak boleh baring, memakai seluar dan buang air besar hampir lebih dua minggu kerana terlalu sakit dan perit. Malah, saya hanya sembuh selepas sebulan,” katanya kepada Berita Harian.
Pada masa yang sama, penyanyi Bourgenvilla ini turut akui tahun pertama berada di penjara dirasakan terlalu perit hingga dia banyak menghabiskan masa dengan menangis.
“Setahun lebih saya mengalami kemurungan dan tidak berdaya tersenyum. Saya menangis setiap masa, masa mandi menangis, makan menangis, sembahyang menangis, hendak tidur pun menangis.
“Saya berasa sangat kosong dan tidak berguna. Saya rasa seperti jiwa badan ini mati ketika berada dalam sel penjara,” katanya sesal.
Tambah Ameng, selepas ini semua persembahan nyanyiannya akan dihadiri keluarga agar dia tidak membuat kesilapan yang sama.
Selain itu, dia juga berjanji tidak akan menerima tawaran menyanyi sekiranya berlangsung di kelab malam atau yang menjual arak.
Pada 12 April 2011 Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka atas kesalahan dadah.
Namun hukuman itu dipendekkan kepada 14 Jun 2016 kerana kelakuan dan disiplin cemerlang yang ditunjukkan Ameng. – MYNEWSHUB.CC