SINGAPURA – Malaysia menekankan pentingnya bagi ASEAN bersatu sebagai sebuah blok dalam menyuarakan kebimbangan mereka, terutamanya dengan melibatkan kuasa-kuasa besar, berhubung perkara berkaitan keselamatan di rantau ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata adalah penting untuk memastikan perjanjian yang dibuat kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China tidak mengetepikan kepentingan negara-negara kecil seperti Malaysia.
“Negara-negara kecil bimbang perjanjian yang dibuat kuasa-kuasa besar itu akan menyebabkan mereka terkapai-kapai. Itulah sebabnya ASEAN penting,” katanya semasa sesi soal jawab pada sesi pleno kedua pada hari kedua Sidang Kemuncak Dialog Shangri-La Ke-15 Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (IISS) di sini, hari ini. – BERNAMA