PASANGAN pelakon sama cantik sama padan Mila Kunis dan Ashton Kutcher bakal menimang cahaya mata kedua mereka tidak lama lagi.
Terbaharu, menurut sumber terdekat pasangan itu kepada sebuah portal, Kunis memang sedang mengandung.
Manakala Ashton merupakan orang paling gembira dengan berita kehamilan itu kerana dia memang menantikan kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka.
“Ashton teruja apabila bercakap tentang anaknya dan lelaki paling gembira apabila Mila didapati hamil kali kedua.
“Mereka memang merancang untuk memiliki sebuah keluarga besar,” kata sumber berkenaan.
Bekas pelakon sitkom That ’70s Show itu mula menjalinkan hubungan pada April 2012 dan melangsungkan ikatan pertunangan pada Februari 2014.
Namun pada Julai 2015, pasangan Hollywood ini memeterai ikatan perkahwinan dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia 20 bulan iaitu Wyatt Isabelle.
Berita kehamilan itu mungkin menjadi satu kejutan buat para peminat pasangan ini.
Bagaimanapun, Kunis pernah menafikan dia sedang mengandung namun tidak menolak untuk menambah bilangan ahli keluarganya dalam sebuah majlis pada Februari lalu.
“Saya tidak mengandung, tapi apa yang pasti, saya mahukan lebih ramai anak,” kata Kunis.  -MYNEWSHUB.CC