TAWAU – Seorang banduan melarikan diri petang semalam ketika dia hendak dibawa ke Penjara Tawau untuk menjalani hukuman.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata Faizal Iman, 36, berasal dari Kampung Aman Jaya, Semporna ketika itu hendak dimasukkan ke dalam trak di perkarangan bangunan Mahkamah Tawau.
“Dia baharu sahaja dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 20 sebatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Faizal memakai baju berwarna merun dan berseluar pendek warna coklat yang banyak poket.
Beliau berkata pihak polis sedang mengesan banduan tersebut dan menyebarkan gambarnya. – BERNAMA