PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara hari ini mengembalikan kertas siasatan kes penjualan banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata selepas meneliti keseluruhan kertas siasatan yang dikemukakan pada 26 Mei lalu, terdapat beberapa tindakan yang perlu disiasat lanjut bagi melengkapkannya.
“Oleh itu, jabatan ini mengembalikan kertas siasatan berkenaan untuk membolehkan pihak SPRM melaksanakan siasatan lanjut bagi melengkapkannya.
“Jabatan ini juga mengarahkan supaya kertas siasatan terbabit dikembalikan dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum ini, SPRM melakukan siasatan terhadap Guan Eng berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang pada harga lebih murah berbanding pasaran, yang dikaitkan dengan skandal penjualan tanah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Manggis, juga di Pulau Pinang. – Berita Harian