KUALA KANGSAR – Lazimnya sebut sahaja ceramah PAS, mesti terbayang dalam fikiran jumlah kehadiran cukup hebat atau paling tidak pun agak menggalakkan apatah lagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.
Dibandingkan sambutan ceramah anjuran serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) memang ibarat langit dengan bumi apabila sering kali jumlah petugas media dan pekerja parti itu sendiri jauh lebih ramai daripada penonton.
Contoh terbaik ceramah di Kampung Ketior dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Isnin apabila lebih 500 orang hadir; iaitu selepas ‘ditolak’ pelanggan kedai makan, wartawan, pekerja parti itu dan anggota polis.
Ini menyebabkan kesesakan di jalan utama apabila puluhan kereta diletakkan di bahu jalan waima berakhir lewat tengah malam berbanding ceramah PAN tidak jauh dari situ di Pekan Manong yang terpaksa ‘tutup’ awal 11 malam.
Tinjauan Mynewshub ke program anjuran PAN itu mendapati hanya 50 orang hadir termasuk pejalan kaki, petugas media, aktivis parti dan anggota polis meskipun yang berucap ialah Timbalan Presidennya sendiri, Salahuddin Ayub.
Malangnya momentum aura Abdul Hadi itu gagal diteruskan 24 jam kemudian apabila ceramah PAS di Dataran Manong pada Selasa mencatat sejarah terpaksa dibatalkan penganjur susulan sambutan dianggap amat luar biasa.
Berita itu menjadi perbualan hangat penduduk Kuala Kangsar terutama penyokong parti lawan selain meluahkan rasa ‘simpati’ dengan nasib PAS apabila ceramah perdananya di kawasan cukup luas hanya dihadiri 32 orang.
Pada kebiasaan, jumlah kecil tersebut sebenarnya sudah cukup memadai jika ceramah melibatkan parti lain seperti PAN yang baharu berusia belum setahun jagung tetapi tidak bagi PAS yang menetapkan ‘tanda aras KPI’ lebih tinggi.
Keadaan ini mengingatkan kembali Mynewshub ketika pernah membuat liputan Pilihan Raya Sarawak awal Mei lalu apabila ceramah DAP gagal dapat sambutan waima penceramahnya ialah Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen.
Suasana hening serta sunyi sepi dalam kegelapan malam di tempat ceramah tersebut jauh saujana mata memandang menimbulkan tanda tanya lucu di manakah silap perancangan PAS dan di manakah ‘hilang’ penyokong totoknya?
Lagipun ceramah tersebut bermula ‘waktu standard’ bulan Ramadan, iaitu jam 10 malam yang juga masa terbaik selepas umat Islam selesai menunaikan ibadat solat sunat tarawih dan penceramahnya pula bukan calang-calang.
Dibarisi Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, jumlah ‘hebat’ kehadiran penonton mencetuskan banyak persoalan mengenai strategi ‘pemasaran’ jentera PAS.
Manong itu sendiri memang diketahui sebagai ‘kawasan kelabu’ bagi BN ketika Pilihan Raya Umum pda 2013 lalu, malahan tempat ceramah PAS itu pula cukup selesa untuk menampung lebih 500 hadirin. – Mynewshub.cc/HAA
#PRKKUALAKANGSAR