ALOR SETAR – Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan yang menghidap pelbagai penyakit kronik, memerlukan bantuan orang ramai untuk membiayai kos perubatan yang mencecah RM2,000 sebulan.
Ieman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim dari Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah dekat sini dikesan menghidap empat penyakit iaitu jantung berlubang, masalah paru-paru knonik, sawan dan lelah semasa berusia tiga bulan lagi.
Ibunya, Nor Hidayu Halim, 27, berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan 24 jam sehari kerana sukar bernafas akibat masalah paru-paru yang dihidapinya.
“Setiap dua kali sebulan, dia perlu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk membuat pemeriksaan lanjut bagi masalah paru-parunya dan buat masa sekarang tiada perancangan untuk pembedahan terhadap masalah jantungnya namun ia akan dipantau dari semasa ke semasa oleh doktor.
“Selain itu, Ieman turut mengalami masalah kulit akibat persekitaran rumah yang panas dan tidak berapa selesa namun kami sedikit lega apabila ada pihak yang sudi menyumbangkan penghawa dingin mudah alih bagi keselesaan Ieman,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata suaminya Abdul Rahim Ismail, 30, yang berniaga air kelapa berhampiran kawasan rumah hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM700 sebulan dan wang itu tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan anaknya itu.
“Sebulan kami memerlukan kira-kira RM2,000 untuk membeli tiub makanan, susu khas dan lampin pakai buang. Selain itu, kami perlu memperuntukkan RM500 bagi menyewa kereta untuk membawa anak ke hospital selain perlu membayar sewa mesin oksigen yang digunakan sejak bulan Mei lalu,” katanya.
Nor Hidayu berkata sehingga kini dia telah memperoleh wang bantuan sebanyak RM5,000 namun perasaan gusar dan bimbang masih ada berikutan bimbang duit tidak mencukupi bagi menampung kos rawatan anaknya pada masa akan datang.
“Semua wang bantuan kami gunakan untuk membayar kos rawatan dan membeli keperluan Ieman namun ia tidak mencukupi kerana kami masih perlu membayar kos perubatan hospital yang masih tertunggak sebanyak RM400,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga itu boleh menghubungi Nor Hidayu di talian 017-4091284.
Terdahulu, Group Ziarah Kebajikan (GZK) Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang dan hamper makanan kepada bayi itu. – BERNAMA