GEORGE TOWN – Kemampuan sumber utama bekalan air ke Pulau Pinang, Sungai Muda, kini dalam keadaan terancam apabila paras air di dua empangan yang menyalurkan air kepadanya terus berada pada paras kritikal.
Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata paras air empangan Muda dan Beris kini masing-masing mencatat bacaan 23.84 peratus dan 31.04 peratus.
“Empangan itu perlu mencatat bacaan lebih 40 peratus untuk berada dalam keadaan selamat, tapi ketika ini parasnya begitu jauh ke bawah,” katanya apabila dihubungi hari ini.
Sungai Muda membekalkan 80 peratus air yang diperlukan Pulau Pinang, manakala dua empangan itu menyalurkan 20 peratus.
Jaseni berkata selain untuk Pulau Pinang, Sungai Muda juga membekalkan 100 peratus air ke kawasan selatan Kedah.
Selain membekalkan air untuk kegunaan domestik, Sungai Muda juga memenuhi keperluan air bagi kegiatan pertanian dan pengairan di kawasan Seberang Perai Utara dan selatan Kedah.
Semalam, paras air di empangan Pulau Pinang, terutama Empangan Teluk Bahang, mencapai paras terendah iaitu 46 peratus, lebih rendah daripada bacaan pada musim kemarau dan menurut Jaseni, dalam keadaan sekarang, bekalan air untuk negeri ini hanya boleh bertahan untuk 55 hari lagi.
“Ini merupakan kesan susulan daripada super El-Nino yang kami hadapi dari Januari hingga Mei tahun ini dan kami tidak alami banyak hujan untuk pulih daripada kesan El-Nino,” katanya. – BERNAMA