JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kembali merampas status pemain nombor satu dunia selepas berjaya merangkul gelaran juara Terbuka Indonesia apabila menewaskan wakil Denmark, Jan O Jorgensen pada aksi akhir, sebentar tadi.
Chong Wei ketika ini mengumpul 88,953 mata dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), ketinggalan 3,241 mata di belakang pencabar Chen Long, namun kejuaraan itu membolehkan dia meraih 11,000 mata sekali gus memintas musuh utamanya itu.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Chong Wei bagaimanapun terpaksa bermandi peluh sebelum mencatat kemenangan 17-21, 21-19, 21-17.
Keputusan tersebut sekali gus melebarkan rekod kemenangannya ke atas lawan dari Denmark itu kepada 16 daripada 17 pertemuan mereka sejak 2009.
Lebih manis, kejuaraan keenam diraih Chong Wei ini selepas memenanginya pada tahun 2013, 2011, 2010, 2009, 2007 turut membolehkan pemain berusia 34 tahun itu menyamai rekod yang dilakukan legenda negara berkenaan Taufik Hidayat dan Ardy Wiranata.
Kali terakhir Chong Wei berada di kedudukan teratas dalam ranking dunia adalah pada Disember 2014, sebelum beliau dijatuhi lapan bulan penggantungan akibat kesalahan kes doping oleh BWF.
“Saya berharap dapat kembali lagi tahun depan kerana saya berasakan seperti di tempat sendiri dengan sokongan padu peminat di sini.
“Namun, semuanya bergantung kepada keadaan saya selepas Sukan Olimpik,†katanya selepas perlawanan itu yang disiarkan secara langsung di Astro Supersports.
Sebagai rekod, ini gelaran keempat buat Chong Wei tahun ini selepas menjuarai Malaysia Masters, Terbuka Malaysia dan Kejohanan Asia. -MYNEWSHUB.CC