KUALA LUMPUR – DAP menyifatkan undi yang diberikan kepada calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar kali ini merupakan satu pembaziran.
Penasihatnya Lim Kit Siang mendakwa, hanya Parti Amanah Negara (PAN) dapat menyaingi Barisan Nasional (BN) manakala PAS sekadar membazirkan undi orang ramai.
“Adalah jelas pertandingan adalah di antara calon BN dan PAN memandangkan undi kepada calon PAS merupakan satu pembaziran.
“Ianya kerana calon PAS langsung tiada peluang untuk memenangi kedua-dua kerusi berkenaan,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kit Siang berkata, PAS akan kehilangan sebanyak 10,000 undi di Sungai Besar dan 5,000 undi di Kuala Kangsar yang pernah diterima dalam Pilihan Raya Umum 2013.
Kata beliau, semua undi terbabit akan berpindah kepada calon PAN yang mewakili DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Harapan. - MYNEWSHUB.CC