KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak sepatutnya menuduh DAP cuba menyibuk dalam urusan umat Islam negara ini berhubung cadangan melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahahtir Mohamad sendiri menegaskan bahawa rang undang-undang yang dibentangkan oleh Abdul Hadi tersebut tidak adil dan tidak Islamik.
“Adalah salah bagi Abdul Hadi mengkritik DAP “busybody” kerana menentang rang undang-undang beliau yang hanya untuk umat Islam, malah Mahathir menyifatkannya sebagai tidak adil dan tidak Islamik.
“Abdul Hadi perlu memahami perasaan takut orang bukan Islam berhubung hakisan pada hak-hak Perlembagaan mereka pada masa akan datang dan mereka mungkin kehilangan dalam apa-apa percanggahan atau pertikaian antara undang-undang agama di bawah syariah dan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Guan Eng berkata, sebarang usaha untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia dengan memperkasakan kuasa Mahkamah Syariah perlu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
“DAP mengulangi pendirian menentang pelaksanaan hudud kerana sesebuah negara tidak boleh mempunyai dua sistem undang-undang jenayah,” tegasnya. – mynewshub.cc