DEMI menyimpan wang bagi keperluan masa depan anak-anak, pelakon Diana Danielle berkata dia sama sekali tidak kisah jika dirinya terpaksa memakai baju yang dibeli di pasar malam.
Menurutnya, hal itu tidak menjadi masalah kerana dia sudah puas mengecapi segala apa yang diingini ketika remaja.
Memetik laporan Berita Harian, Diana berkata:
“Saya tidak kisah jika terpaksa beli baju di pasar malam asalkan tidak membazir wang. Ini kerana saya sudah puas mengecapi apa yang dikehendaki ketika zaman remaja. Selepas ini jika teringin baju baharu, saya akan mendapatkannya di pasar malam sebab saya mahu simpan wang untuk masa depan anak-anak kerana ingin membelikan setiap mereka rumah.”
Isteri Farid Kamil itu berkata, memakai barangan berjenama kini sudah tidak termasuk dalam keutamaannya yang lebih selesa merancang perbelanjaan secara bijak agar tidak berlaku pembaziran.
“Hari ini saya cari rezeki untuk anak-anak. Jika dulu saya pakai barangan berjenama tetapi kini semua itu bukan lagi keutamaan. Selepas Muhammad lahir, saya tidak lagi keluar beli belah untuk diri sendiri. Baju, beg dan kasut yang dibeli dulu masih boleh digunakan, tidak perlu membazir,” ujarnya.
Hasil perkahwinan dengan aktor terkenal itu pada 2012, Diana mempunyai sepasang cahaya mata comel  iaitu Muhammad, 3; dan Nur Aurora yang kini berusia tujuh bulan. – MYNEWSHUB.CC