VOKALIS kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail akhirnya dibebaskan dari Penjara Kluang, Johor, kira-kira jam 12.15 tengah hari tadi.
Pembebasan penyanyi Bougainvillea ini dinantikan isteri tercinta, Sabariah Zakaria, 46, bersama anak tunggal mereka Wan Amar Haikal, 9, di hadapan pintu utama penjara.
Ameng yang dipenjarakan selama lima tahun atas kesalahan penyalahgunaan dadah ternyata tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata terharu tatkala melihat kehadiran keluarganya itu.
Pada masa sama, Ameng akui menyesal dengan perbuatannya dan akan berubah demi keluarga tercinta.
“Saya menyesal dan insaf. Sebak rasanya melihat kesetiaan isteri dan anak yang menyayangi saya sepenuh hati dan tidak pernah melupakan saya.
“Jika bukan kerana kasih sayang tidak berbelah bahagi mereka, mungkin saya sudah gila dan hilang semangat meneruskan kehidupan.
“Hidup dan mati saya selepas ini hanya untuk keluarga. Saya akan membahagiakan mereka dan berjanji jadi suami dan ayah yang baik bagi membalas pengorbanan serta kesusahan ditanggung disebabkan saya,” katanya kepada BH Online.
Ameng dijangka pulang ke rumah keluarganya di Melaka bagi menunaikan ibadah Ramadan dan menyambut Aidilfitri di sana.
Pada 12 April 2011 Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka atas kesalahan dadah.
Namun hukuman itu dipendekkan kerana kelakuan dan disiplin cemerlang yang ditunjukkan Ameng. – MYNEWSHUB.CC