KEMPEN #HijrahUsahawan bakal menjadi fenomena baharu ke arah kebangkitan usahawan Melayu dalam membangunkan empayar ekonomi Islam di peringkat setempat, serantau dan sejagat.
Kempen ini satu platform khusus bagi memastikan usahawan Islam dalam Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan dapat diperkasa secara ilmiah, sejajar dengan cabaran bagi mengukuhkan jenama Bumiputera Islam Malaysia di pentas dunia menjelang pelaksanaan Perjanjian Trans Pasifik 2018 (TPPA).
“Pada 18 Jun, TV Alhijrah akan menggerakkan kempen #HijrahUsahawan bersama Pakar Motivasi Perniagaan Dr. Azizan Osman,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Izelan Basar.
Kempen #HijrahUsahawan akan menyediakan kursus keusahawanan secara percuma, sekali setiap bulan kepada 1500 usahawan Melayu Islam yang terpilih melalui pendaftaran online dan tawaran E-Tiket.
Untuk sesi pertama pada 18 Jun ini bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam, kata Izelan, tempahan sudah penuh pada hari kedua selepas pendaftaran dibuka sejak 2 Jun lalu.
“Kita terpaksa memutup tawaran pada 3 jun kerana permintaan terlalu banyak. Jadi, menyedari minat usahawan Melayu Islam untuk mendapat bimbingan keusahawanan sangat tinggi, TV Alhijrah memutuskan untuk menjadikan program #HijrahUsahawan ini sebagai acara bulanan,” kata Izelan.
Peserta akan diberi bimbingan perniagaan dan mentaliti keusahawanan dalam kuliah selama 3 jam oleh Dr. Azizan serta sesi 30 minit bersama Izelan yang akan melancarkan Kempen Iklan Ehsan TV Alhijrah kepada semua usahawan yang hadir.
“Selain peranan Dr. Azizan untuk meningkatkan pengetahuan usahawan dalam membina dan jati diri serta penerapan nilai keusahawanan berdasarkan perspektif Islam, TV Alhijrah menyediakan bonus dengan melancarkan tawaran siaran iklan dengan harga ehsan kepada semua yang hadir,” kata Izelan.
Berdasarkan sambutan hangat 300 usahawan Islam yang menyertai Kempen Iklan Ramadan pada 2 minggu pertama sejak dilancarkan siarannya pada 1 Jun hingga 15 Jun, TV Alhijrah memutuskan untuk terus membantu dengan meneruskan kempen iklan harga murah musim perayaan.
Kempen Iklan Syawal akan bermula 18 Jun hingga 5 Ogos (30 Syawal) sebagai usaha kesinambungan TV Alhijrah untuk terus menyokong kempen mengukuhkan penjenamakan produk Islam di TV.
Pada program 18 Jun yang bermula 9.00 pagi, Izelan akan melancarkan pakej Iklan Emas Syawal dengan tawaran 100 siaran slide berdurasi 10 saat per siaran pada harga RM10 ribu.
Manakala pakej Permata Syawal pula menawarkan 300 siaran slide iklan berdurasi 10 saat per siaran pada harga jumbo RM25 ribu.
“Ini kempen TV Alhijrah untuk mensasakan jenama usahawan Islam dalam empayar TV bersesuaian dengan taglines kami *Produk Anda Berhak Popular*,” kata Izelan.
Selain itu, 1500 peserta juga bakal mendapat penjelasan dan bimbingan tips keusahawanan secara insentif dan percuma melalui kuliah motivasi tiga jam oleh Dr. Azizan.
“Sudah sampai masanya kami memimpin kebangkitan ekonomi Islam melalui Empayar Usahawan Melayu dalam IKS,” kata Izelan. – MYNEWSHUB.CC