SEORANG peminat drone berasal dari Oregon, Amerika Syarikat (AS), menunjukkan keupayaan sebuah drone yang boleh digunakan sebagai alat untuk menghantar minuman.
Demonstrasi itu dilakukan di sebuah tasik di Rockaway, di mana drone perlu menghantar kopi kepada sepasang kekasih yang berada di atas bot di tengah-tengah tasik berkenaan.
Menerusi video pendek yang dimuat naik di YouTube oleh Keepingitbasic, drone itu hanya menggunakan tali pancing dan beberapa batang kayu kecil untuk dijadikan tempat untuk meletak cawan kopi tersebut.
Percubaan menghantar kopi kepada pasangan tersebut dilakukan dengan jayanya tanpa sebarang tumpahan.
Walau bagaimanapun, penonton yang melihat video berkenaan disarankan untuk tidak mencuba aksi tersebut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Namun, percubaan yang dilakukan oleh individu di Oregon itu bukanlah yang pertama. Terdahulu, syarikat rangkaian makanan segera Pizza Hut pernah melakukan percubaan menghantar piza menggunakan drone.
Malah menerusi satu kajian dilakukan di S, rata-rata penduduknya berharap suatu hari nanti penghantaran piza menggunakan drone menjadi suatu normal menjelang tahun 2036 menggantikan khidmat penunggang motosikal.
Seramai 66 peratus daripada keseluruhan responden menyukai kaedah baharu yang cuba dipraktikkan itu, manakala 27 peratus tidak bersetuju dan selebihnya pula langsung tidak tahu apa-apa. – MYNEWSHUB.CC