TIADA wang tebusan yang dibayar kepada kumpulan militan Abu Sayyaf untuk pembebasan empat rakyat Malaysia yang diculik dari perairan antarabangsa di luar Pulau Ligitan, 1 April lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, keempat-empat tebusan itu dibawa pulang ke tanah air oleh Unit Tindakan Khas (UTK) selepas dibebaskan tanpa sebarang pembayaran wang tebusan.
“Keempat-empat mereka nampaknya dalam keadaan sihat. Mereka berada di Sandakan akan dibawa ke Kota Kinabalu hari ini.
“Kami terpaksa merahsiakan butiran lanjut pergerakan operasi kerana kita khuatir keselamatan mangsa dan kami belum ambil keterangan mereka lagi,†katanya dalam laporan disiarkan Astro Awani.
Mangsa culik dikenalpasti sebagai adik beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chi, 29, sepupu mereka Johnny Lau JungHien, 21, dan rakan sekerja Wong Hung Sing, 34.
Kumpulan penculik pada mulanya meminta wang tebusan sebanyak 300 juta peso (kira-kira RM30 juta) sebelum mengurangkan kepada 180 juta peso (kira-kira RM18 juta) untuk pembebasan empat pemuda dari Sibu itu.
Sebaik sahaja dibebaskan, empat tebusan itu dilaporkan menaiki bot selama lapan jam dari Jolo ke Sandakan. – MYNEWSHUB.CC