SAINT-ETIENNE – England mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik tetapi terlepas status sebagai juara Kumpulan B selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Slovakia dalam aksi terakhir kumpulan, sebentar tadi.
Kemenangan 3-0 Wales ke atas Russia di Toulouse menyaksikan The Three Lions menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan B.
Slovakia pula perlu menunggu jika mereka layak sebagai satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik selepas penjaga gol, Matus Kozacik tampil dengan aksi cemerlang dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya England.
England akan bermain untuk aksi pusingan 16 terbaik di Nice, Isnin depan menentang naib juara Kumpulan F dengan besar kemungkinan Hungary atau Portugal.
Ia adalah malam yang kecewa sekali lagi buat penyokong England di Saint-Etienne.
Aksi di Stadium Geoffroy Guichard sebelum ini turut membuatkan penyokong The Three Lions mengalami kekecewaan apabila menyaksikan David Beckham dibuang padang ketika England tewas kepada Argentina menerusi penentuan penalti dalam aksi pusingan 16 terbaik kempen Piala Dunia 1998. – AFP