SETELAH tiga tahun menjalinkan hubungan cinta, penyanyi terkenal Hazama baru-baru ini telah mengumumkan bakal menamatkan zaman solonya bersama pemuzik Genervie Kam selepas Hari Raya Aidilfitri.
Kisah percintaan pasangan selebriti ini sedikit sebanyak menarik perhatian ramai kerana Genervie bukan beragama Islam.
Sementara itu, Ibu Hazama iaitu Hasmah Zahari mengakui dia merestuai hubungan cinta anaknya itu dan merasakan Genervie sudah menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.
Menurut Hasmah, teman wanita anaknya itu berbudi bahasa dan pandai memasak.
“Makcik restu hubungan Hazama dengan Genervie. Alhamdulillah, dia (Genervie) seorang yang berbudi bahasa dan ramah orangnya.
“Makcik tidak halang untuk Hazama dan Gevervie kahwin, ” katanya kepada Mstar Online.
Selain itu, Hasmah turut memuji sikap Genervie yang ‘lebih Melayu’ berbanding orang Melayu sendiri.
“Dia macam orang Melayu. Kadang-kadang lebih Melayu berbanding orang Melayu sendiri. Bayangkanlah… tempoyak pun dia suka makan dan juga ikan patin.
“Ada sesetengah orang Melayu pun tak suka tempoyak.
“Makcik serahkan segala-galanya kepada Hazama untuk buat pilihan mengenai calon isteri dia. Sebagai orang tua, makcik doakan yang terbaik buat mereka,” katanya.
Sebelum ini, Hazama dalam satu kenyataan memberitahu, akan melangsungkan majlis pernikahannya secara tertutup kerana tidak mahu memberi tekanan kepada Genervie.
Genervie yang dijangka memeluk Islam pada bulan Ramadan nanti. – MYNEWSHUB.CC