KUALA LUMPUR – Gerakan Media Marah (Geramm) mengutuk keras Parti Amanah Negara (PAN) berikutan layanan buruk pimpinan parti pembangkang itu ke atas wartawan yang bertugas di Kuala Kangsar, Perak.
Geramm dalam satu kenyataan media di sini berkata, insiden membabitkan Naib Ketua Pemuda PAN Perak, Hasnul Zulkarnain di tangga pintu masuk pejabat PAN Kuala Kangsar pada Rabu adalah sangat tidak matang.
“Ugutan dan kata-kata kasar yang dihamburkan oleh Hasnul terhadap wartawan wanita itu tidak patut berlaku. Apa lagi wartawan-wartawan yang hadir semuanya dijemput dan bukannya tidak diundang.
“Insiden tersebut turut telah dirakam dan disiarkan dan warga media tempatan yang rata-rata tidak berpuas hati dengan cara Hasnul bertindak,” kata kenyataan tersebut pada Khamis.
Justeru, Geramm menyeru pihak PAN supaya menjadi sebuah parti politik yang bersikap matang dan profesional dalam menjaga hubungan dengan pengamal media.
Menurut kenyataan badan bebas tersebut lagi, hubungan baik dan mesra antara petugas media dan parti politik diperlukan bagi membina amalan demokrasi yang sihat.
Ini merupakan insiden kekecohan kedua berlaku di tempat sama pada hari sama selepas pegawai khas isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor dihalang kasar oleh petugas PAN. – MYNEWSHUB.CC
#PRKKUALAKANGSAR