GOLONGAN gay di Orlando, Amerika Syarikat meluahkan rasa tidak puas hati apabila mereka dilarang untuk menderma darah bagi membantu rakan-rakan yang terlibat dalam kejadian tembakan rambang yang berlaku Ahad lalu.
Hal ini kerana pihak berkuasa tempatan telah meletakkan syarat yang ketat kepada pengamal aktiviti songsang itu bagi mengekang penularan virus HIV.
Berdasarkan syarat yang ditetapkan, golongan gay mestilah bebas daripada melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya setahun sekiranya mereka berhasrat untuk menderma darah.
Rob Domenico yang juga ketua dan ahli lembaga The Center, meluahkan rasa kecewanya kerana tidak dapat menderma darah di saat rakan-rakannya memerlukan bantuan.
Walau bagaimanapun, pertubuhan itu bersama sukarelawan telah mengadakan pertemuan dengan mangsa dan ahli keluarga mereka bagi menghulurkan bantuan serta memberi nasihat kaunseling.
Pat Michaels, jurucakap bagi OneBlood berkata, pihak Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) negara itu mengenakan sekatan yang keras terhadap golongan gay yang ingin menderma darah.
Bagaimana pun tempoh larangan 12 bulan yang diberikan itu selaras dengan negara-negara lain seperti England, Australia dan Sepanyol.
Walaupun sekatan dikenakan ke atas golongan gay daripada menderma darah, terdapat ramai orang awam tampil menderma darah kepada mangsa serangan tersebut.
Insiden tembakan rambang Ahad lalu menyaksikan 50 orang terkorban manakala lebih 53 tercedera apabila sOmar Mateen, 29, melepaskan tembakan rambang sebelum dia sendiri ditembak mati oleh polis Orlando selepas berbalas tembakan. – MYNEWSHUB.CC