ISTANBUL – Seorang pelajar Indonesia, Aswar Anas, bukan sahaja mampu menjadi imam solat sunat tarawih di Turki, malah hafiz al-Quran dari Jakarta ini ditawarkan menjadi imam tetap di masjid bandar Kastamonu.
Portal berita tempatan Dream.co.id memetik laman Persatuan Pelajar Indonesia Turki, melaporkan untuk menjadi imam di mana-mana masjid di Turki bukan perkara mudah apatah lagi warga asing bukan berbangsa Arab.
Tidak seperti di Indonesia, imam masjid di Turki merupakan penjawat awam dan dibayar gaji oleh pemerintah bahkan jadual giliran imam bertugas masjid di negara itu sudah ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan.
Seperti juga pelantikan kakitangan awam yang normal, proses birokrasi ketat sehingga Aswar menjadi imam tarawih bukanlah mudah. Tambahan pula remaja dari pulau Jawa ini merupakan seorang warga asing.
Perbezaan mazhab juga menjadi pertimbangan. Sekadar maklumat, majoriti Muslim Turki menggunakan mazhab Hanafi, sedangan Aswar bermazhab Syafi’i, iaitu aliran utama umat Islam di rantau Asia tenggara.
Namun pemuda kelahiran 31 Disember 1994 lalu ini pada mulanya hanya diberi kesempatan untuk menjadi imam pengganti di Masjid Haci Darende, yang terletak di Kastamonu tidak jauh dari tempat tinggalnya.
Bandar kecil yang hanya berpenduduk seramai 130,000 orang itu terletak sejauh 244 kilometer dari utara ibu kota Turki, Ankara dan berjarak 536 kilometer dari timur bandar raya terbesar Turki, Istanbul.
Pemuda berusia 22 tahun ini dilaporkan sebagai pelajar Indonesia yang kedua dalam sejarah dilantik secara rasmi sebagai imam selepas Fitrah Alif Tama yang menjadi imam Rawatib di Lubnan awal bulan ini.
Hafiz al-Quran ini turut menjadi imam solat tarawih di Masjid al-Khoirot dan Masjid Jinan, dua buah masjid utama di Tripoli, bandar raya kedua terbesar di utara Lubnan selepas ibu kotanya sendiri, Beirut.
Berusia 19 tahun dan berasal dari Palembang, Sumatera Selatan, Fitrah juga mengenakan pakaian khas tradisi Indonesia iaitu peci hitam, baju koko dan sarung ketika memimpin ibadah solat berjemaah.
Duta Besar Indonesia ke Lubnan, Achmad Chozin Chumaidy dilaporkan berkata, pemuda itu yang lebih mesra disapa sebagai Bang Alif ialah lepasan Pondok Pesantren Darul Qur’an kelolaan Ustaz Yusuf Mansur.
Bercerita mengenai Aswar pula, uniknya untuk Ramadan tahun ini, diberi kepercayaan untuk menjadi imam tarawih selama satu bulan penuh. Sebelum itu, dia mendapat tawaran jawatan yang sama di tiga masjid berbeza.
Aswar memilih tawaran pertama. Rupa-rupanya, jemaah masjid itu memang menyukainya. Aswar bahkan ditawar untuk menjadi imam tetap dan bukan lagi sebagai imam pengganti setelah selesai Ramadan kelak.
Hakikatnya Aswar mencetuskan fenomena apabila benar-benar membuatkan warga Turki menggemari dirinya. Tidak sekadar hanya menjadi imam masjid, dia bahkan ditawar bernikah dengan Muslimah Turki.
Langkah tersebut dibuat supaya Aswar dapat terus menetap dan menjadi guru agama di Turki. Bagaimanapun dia hanya tertawa apabila mendengar tawaran unik tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA