KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi hari ini menarik diri daripada mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya bagi mencabar keputusan penjara yang tidak membenarkan keluarganya melakukan sentuhan fizikal ketika melawatnya di penjara.
Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Shahid Adli Kamarudin yang mewakili Anwar dan keluarganya dan Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Johari mewakili responden.
Maisarah memberitahu pemberita bahawa hakim itu membuat keputusan tersebut atas alasan anak perempuannya belajar di sekolah yang sama dengan anak perempuan Anwar iaitu Nurul Nuha yang merupakan seorang daripada pemohon dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman itu. – BERNAMA