BEIJING – Seorang pelajar universiti di China mati ditikam rakan sebilik di asramanya dalam pertengkaran yang tercetus akibat nyanyian mangsa.
Universiti Kunming di wilayah Yunnan mengesahkan seorang pelajarnya mati pada 13 Jun lalu, lapor People’s Daily Online.
Polis berkata, mangsa, Peng Moumou, 18, menggunakan kerusi untuk memukul rakan sebiliknya itu yang berang selepas dia mula menyanyi.
Peng berkongsi bilik dengan suspek dan semua rakan mereka mengetahui hubungan kedua-duanya tidak baik.
Menurut laporan China News, selepas dipukul dengan kerusi, suspek mengeluarkan pisau dan menikam Peng.
Mangsa dibawa ke hospital, tetapi kemudian mati akibat kecederaan dialaminya.
Suspek kini ditahan polis.
Whats on Weibo melaporkan asrama universiti lazimnya dikongsi empat hingga lapan pelajar dan beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan banyak pergaduhan antara pelajar yang berkongsi bilik.
Pada Mac lalu, seorang pelajar Universiti Sichuan dibunuh dan dipenggal rakan sebilik di asrama mereka.
Selain itu, pada 2013, seorang pelajar ditikam mati rakan sebilik di asramanya di Universiti Aeronautik dan Astronautik Nanjing selepas satu pertengkaran. – Agensi/myMetro Online