KUALA LUMPUR – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) meluahkan perasaan marahnya terhadap serangan di Lapangan Terbang Atartuk di Istanbul, Turki yang mengorbankan 41 orang.
“Sekali lagi pengembara diserang secara pengecut. Ingatan kita adalah bersama dengan mangsa, keluarga dan rakan-rakan mereka,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Tony Tyler.
Beliau berkata, pengangkutan udara menghubungkan orang ramai dan memudahkan pembangunan ekonomi dan sosial.
Istanbul mempunyai peranan penting dan bersejarah dalam menghubungkan Timur dan Barat, katanya.
“Keinginan manusia untuk meneroka dan berdagang akan terus mengatasi syak wasangka dan rasa takut. Dengan beroperasinya Lapangan Terbang Istanbul hari ini membuktikan daya tahan dan kesungguhan rakyat Turki serta industri penerbangan.
“Kita bersatu dalam perpaduan dan yakin kita akan muncul lebih kuat dan lebih bersatu dalam usaha menghubungkan dunia kita,” kata Tyler.
Menurutnya, keselamatan dan jaminan penumpang adalah keutamaan.
“Tragedi di Istanbul dan di Brussels awal tahun ini menunjukkan wujudnya cabaran yang semakin meningkat untuk kerajaan memastikan orang ramai di lapangan terbang selamat,” katanya.
Industri itu mempunyai pelbagai inisiatif untuk mencapai matlamat berkenaan dan IATA sedang bekerjasama dengan kerajaan dan lapangan terbang untuk melaksanakannya, tambah beliau. – BERNAMA