KUANTAN – Berang kerana dua anak lelakinya ditahan oleh sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Op Gempur Tiga di Felda Bukit Sagu pagi tadi, seorang ibu bertindak membaling kerusi lipat dalam usaha menghalang anggota penguat kuasa menangkap anaknya.
Drama itu bermula pada pukul 3.30 pagi apabila anggota penguat kuasa menyerbu dan mengepung rumah itu setelah mendapat maklumat daripada orang awam mengatakan dua penghuni rumah berkenaan terlibat dengan masalah penagihan dadah.
Penolong Pengarah AADK Pahang, Wan Maisarah Wan Abu Mansor berkata semasa serbuan dilakukan, penghuninya enggan bekerjasama dengan tidak membuka pintu rumah dan sebaliknya cuba melarikan diri menyebabkan anggota AADK dengan dibantu oleh anggota Rela cuba memecahkan pintu rumah tersebut.
“Setelah beberapa ketika akhirnya seorang wanita warga emas berusia 63 tahun yang merupakan ibu kepada dua beradik lelaki itu kemudian membuka pintu sambil memarahi dan memaki anggota penguat kuasa.
“Kita kemudian masuk ke rumahnya dan hasil pemeriksaan dua beradik ini yang masing-masing berumur 31 dan 23 tahun telah ditemui bersembunyi di dalam almari serta di bawah katil dipercayai cuba mengelak daripada ditahan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Bagaimanapun semasa dua beradik berkenaan hendak dibawa keluar, ibu kepada dua beradik yang tidak berhenti memarahi pegawai penguat kuasa dengan kata-kata kesat, telah bertindak luar dugaan dengan membaling kerusi lipat ke arah anggota penguat kuasa.
Anggota AADK berjaya mengelak kerusi itu, namun ia mengenai wartawan Bernama yang turut menyertai operasi yang dilakukan bermula pukul 12 tengah malam sehingga 11.30 pagi tadi.
Wanita warga emas itu kemudian berjaya ditenangkan oleh anggota penguat kuasa dan suasana sayu agak terasa apabila tiga kanak-kanak yang masing-masing berumur tiga, enam dan lapan tahun dipercayai anak salah seorang lelaki berkenaan menangis dan memanggil ‘papa’ tanpa henti sebaik melihat dua beradik itu ditahan.
Mereka merupakan antara antara 33 individu 21 hingga 41 tahun yang ditahan kerana positif dadah hasil pemeriksaan dari rumah ke rumah dalam operasi di sekitar Felda Bukit Sagu dan Balok.
Wan Maisarah berkata walaupun mendapat cemuhan dan halangan termasuk ada yang menggunakan parang dalam usaha untuk mengelakkan diri daripada ditahan, namun pihak AADK akan terus menjalankan operasi berkenaan dari semasa ke semasa untuk membenteras masalah penagihan dadah. – BERNAMA