KUALA LUMPUR – IKEA Malaysia meminta orang ramai yang membeli pintu pagar keselamatan Patrull, Patrull Klamma dan Patrull Fast dari gedung pasar raya syarikat itu supaya memulangkan semula produk berkenaan kerana didapati tidak menjamin keselamatan kanak-kanak.
IKEA Malaysia dalam satu kenyataan media berkata, syarikat perabot itu menerima laporan daripada pelanggannya bahawa pintu pagar keselamatan Patrull yang dipasang pada tangga itu boleh terbuka secara tiba-tiba dan menyebabkan kanak-kanak terjatuh.
“IKEA Malaysia meminta semua pelanggan yang memiliki pintu pagar keselamatan Patrull agar tidak menggunakannya dan kembalikannya ke mana-mana gedung IKEA untuk mendapatkan bayaran balik sepenuhnya.
“Bukti pembelian (resit) tidak diperlukan untuk mendapatkan bayaran balik sepenuhnya. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi Perhubungan Pelanggan di 03-7952 7575,” kata kenyataan itu hari ini.
IKEA Malaysia berkata, meskipun produk itu lulus ujian dan disahkan mengikut piawaian tetapi siasatan pihak ketiga menunjukkan mekanisma mengunci pada pintu pagar tersebut tidak kukuh lantas mendedahkan risiko kepada kanak-kanak kecil.
Menurut IKEA Malaysia, langkah memanggil balik semua produk itu kerana pintu pagar keselamatan terbabit dijual di semua pasaran IKEA termasuk di Malaysia dan syarikat itu tidak mahu mengambil risiko ke atas keselamatan kanak-kanak.
“Kami mengamalkan toleransi sifar berhubung keselamatan kanak-kanak. Kami ingin tawarkan produk yang selamat lagi menyihatkan dan pada kami kanak-kanak adalah orang yang paling penting di dunia.
“Kami akan bertindak bila mana kemungkinan terdapatnya tanda-tanda tentang isu keselamatan berkaitan mana-mana produk kami,†kata Pemangku Pengurus Perniagaan Kawasan Kanak-kanak IKEA, Maria Thörn dalam kenyataan sama. – MYNEWSHUB.CC