KUALA KANGSAR – Empat nelayan Malaysia, yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana dipercayai menceroboh perairan negara itu, akan dibebaskan hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pembebasan nelayan berkenaan dibuat setelah mendapat pengampunan daripada Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi.
“Keempat-empat nelayan dari Johor itu dijangka dibebaskan bersama-sama dua lagi nelayan dari Sekinchan, Selangor yang pembebasan mereka saya umumkan semalam,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas Himpunan Sahabat Amanah Ikhtiar (AIM) Parlimen Kuala Kangsar dan ulang tahun Kelab Usahawan AIM Parlimen Kuala Kangsar di sini, hari ini.
Ahmad Zahid, dalam sidang media di Sungai Besar semalam, mengumumkan pembebasan Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong yang ditahan di Tanjung Balai, Indonesia.
Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berharap hubungan baik Malaysia dengan Indonesia dapat diterjemah dalam bentuk tindakan ke atas nelayan-nelayan yang tidak sengaja memasuki kawasan perairan negara jiran.
“Apabila nelayan mereka termasuk ke kawasan kita, kita harus ambil langkah terutama Tentera Laut Diraja Malaysia atau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk meminta mereka keluar ke perairan asal dengan baik.
“Begitu juga bila nelayan kita melakukan yang sama (termasuk ke perairan Indonesia). Tetapi oleh kerana beberapa permasalahan operasi, beberapa nelayan kita ditahan,” katanya.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berharap penyediaan peranti Sistem Pengenalan Automatik (AIS) oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membantu nelayan Malaysia dari segi pembuktian kawasan menangkap ikan.
“Dengan adanya AIS, kita harap tidak ada lagi kesalahan dilakukan nelayan dan peranti ini membolehkan lokasi sebenar nelayan dikesan dan dijadikan bukti,” katanya. – BERNAMA