SEBELUM ini, semasa menjadi mentor di program realiti Mentor beberapa tahun lalu, penyanyi dangdut, Mas Idayu atau nama sebenarnya, Masidayu Binti Mesnun, 47, menggunakan rotan untuk mengasuh protegenya.
Pada tahun ini, Mad Idayu telah dipilih untuk menjadi guru vokal bagi program realiti TV popular, Akademi Fantasia, atau AF2016.
Adakah pelantun lagu Robek Hatiku ini akan membawa rotan untuk mengasuh bakal pelajar AF2016 kelak?
“Untuk kali ini, saya sudah mempunyai cara tersendiri untuk mendidik bakal pelajar AF2016 dan semua yang akan saya ajar merupakan cara Mas Idayu, bukannya drama atau mengejar populariti.
“Apa yang penting adalah kemahuan mereka untuk belajar. Mereka perlu tanamkan sifat mahu belajar dan ingin berjaya sebagai seorang penyanyi.
“Mereka tidak perlu takut kalau tidak melakukan kesalahan,” katanya kepada Astro Gempak.
Tambahnya, sebagai salah seorang tenaga pengajar, dia hanya mahu memberikan tunjuk ajar dan akan berkongsi segala ilmu yang dimiliki dengan semua pelajar yang akan terpilih nanti. -MYNEWSHUB.CC