OLEH: Zainal Rashid AhmadÂÂ
DALAM kaedah fekah, terdapat teras kaedah pemikiran yang strategik dan indah: Sesiapa yang memetik buah yang belum masak akan kehilangan nikmat manisnya.
Ini peringatan terbaik bagi memastikan usul persendirian Rang Undang-undang 355 Akta Mahkamah Syariah yang dibentangkan di Parlimen baru-baru tidak dijadikan bahan kempen secara salah dan mengelirukan.
RUU 355 harus dilihat sebagai langkah ke arah memperkasakan Mahkamah Syariah dalam usaha mendidik umat Islam di negara ini supaya menjauhi zina, khalwat, fitnah zina, arak dan judi. Sama ada diusulkan pembangkang dan disokong wakil kerajaan, itu tidak penting. Nawaitu sebenar, ini satu usaha mujahadah demi agama Allah.
Menjadikan RUU 355 sebagai bahan kempen untuk meraih undi dengan usaha menuntut kredit supaya pengundi Islam membayar upah di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan berisiko mewujudkan persepsi buruk mengenai matlamat sebenar perjuangannya.
Pas dan Umno sudah bersatu dalam isu penbentangan usul ini. Malah, akan kekal bersatu bagi memastikan RUU 355 diluluskan setelah dibahas pada Sidang Dewan Rakyat Oktober nanti. Ini bukan rahsia. Ini keputusan kompromi dan taktikal demi memastikan usaha meningkatkan kadar hukuman denda, tempoh penjara dan jumlah sebatan dalam akta ini ditingkatkan.
RUU 355 tiada kena mengena dengan Enekmen Hudud. Jadi tiada sebab untuk parti yang bertanding cuba mengaitkannya dengan hudud atau mengumpan undi dengan mengatakan ia langkah awal menuju pelaksanaan hudud.
RUU 355 secara fakta ialah meminda bahagian hukuman dalam satu akta yang sudah wujud sejak 1965. Pindaan ini tiada kaitan dengan menambah kuasa Mahkamah Syariah untuk mengambil alih kes- kes jenayah yang sudah tertakluk dalam bidang kuasa Perundangan Sivil.
Dinasihatkan Pas faham realiti ini, dan tidak membangkitkan dalam kempen PRK, bahawa usul ini ialah usul awal parti itu ke arah Enekmen Hudud.
Pas sudah melakukan kesilapan lebih awal sejak dulu. Apabila Jawatan Kuasa Teknikal Bersama antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan dibentuk, Pas sudah dinasihatkan untuk tidak agresif dalam membawa usul hudud. Ini kerana meminda Akta 355 lebih perlu didahulukan.
Pas dinasihatkan supaya memberi laluan lebih dahulu pada Akta 355 supaya rakyat tidak keliru antara Enekmen Hudud dan Akta Mahkamah Syariah.
Tapi Pas degil, malah agresif mencanangkan Hudud.
Kesannya terbukti sekarang. Apabila usul persendirian ini dibentangkan, rakyat mudah diserabutkan oleh chauvinis politik dengan mengaitkan RUU 355 sebagai Hudud.
Umno juga dinasihat untuk tidak emosi dalam menjelaskan mengenai RUU 355. Walaupun wujud pertandingan dan Umno dilihat favourite untuk menang, tapi jangan sampai Umno dilihat perkauman dengan hujah-hujah sensasi meraih undi.
Ingat! Apa erti menang PRK dan Islam ada 135 MP, sekiranya kelak usaha meluluskan RUU 355 musnah kerana perpecahan akibat pergeseran emosi ketika berkempen.
Jangan dipetik buah yang belum masak kerana anda tidak akan sempat menikmati rasa manisnya.
Maknanya, jangan diheret RUU 355 semata-mata untuk undi, kalau kesannya memecah- belahkan MP Pas dan Umno. Kedua-dua MP parti ini akan memainkan peranan utama memastikan usul RUU 355 diluluskan dengan 112 undi majoriti mudah.
Umno harus bersikap sebagai parti berjiwa besar. Akan ada dakwaan mengatakan Pas menerajui usaha RUU 355, tapi realitinya semua orang akan tahu, tanpa Umno usul ini tidak mampu melepasi senarai usul perbahasan.
Umno boleh mengatakan bahawa Pas tidak akan berjaya tanpa sokongan Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi Umno, namun debat ini pasti akan menghilangkan iktikad sebenar perjuangan RUU 355 yang dilakukan demi Allah dan agamanya.
Justeru menjelang kempen PRK selepas Hari Pencalonan 5 Jun, jagalah lidah. Jangan sampai kerana dua kerusi, hubungan ukhwah Pas Umno berpatah arang dan usul RUU 355 menjadi korban.
Jagalah saf. Jadikan teladan supaya 135 MP Islam termasuk dari Dap sama-sama menyedari: Kuasa politik hanya harta dunia, maka raikan ia menjadi ibadah untuk akhiratlah jua.