PUTRAJAYA – Rakyat tidak patut disalahkan dalam membuat pilihan pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam laman blognya bahawa kemenangan BN dalam kedua-dua PRK itu hasil pemberian wang dan barang kepada pengundi, Abdul Rahman menyatakan kesal dengan tuduhan itu kerana seolah-olah pengundi di kawasan berkenaan tiada pendirian.
“Saya berpendapat rakyat memilih BN kerana BN memberikan harapan sebagai parti yang baik untuk generasi mereka akan datang dan jaminan keselamatan negara dan bukannya berdasarkan sesuatu isu tertentu.
“Tuduhan itu jauh tersasar, tidak munasabah dan alasan yang karut kerana kalah dalam pilihan raya itu. Beliau telah lakukan apa yang beliau lakukan, saya fikir beliau perlu menerima yang rakyat telah menyatakan pilihan mereka,” kata Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika ditemui selepas menyertai program bubur lambuk di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah matang dan mempunyai pendirian sendiri mengenai isu yang dibawa oleh Dr. Mahathir.
“Mereka mendengar apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir dan keputusan yang mereka buat ialah bahawa mereka tidak mempercayai apa yang diperkatakan oleh Dr. Mahathir, itu saja,” katanya.
BN menang besar dalam kedua-dua PRK pada Sabtu lepas dengan Datin Mastura Mohd Yazid memperoleh majoriti 6,969 undi di Kuala Kangsar manakala Budiman Mohd Zohdi meraih majoriti 9,191 undi di Sungai Besar. – BERNAMA