PARIS – Pengendali Croatia, Ante Cacic menyifatkan gol Luka Modric sebagai ‘gol ajaib’ selepas jaringan pemain tengah Real Madrid itu membolehkan mereka menang tipis 1-0 ke atas Turki pada aksi pembukaan Kumpulan D, sebentar tadi.
Modric dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas meledak voli dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Turki, Volkan Babacan pada minit ke-41.
“Luka wajar diberikan perhatian terutamanya selepas perlawanan ini,” kata Cacic pada sidang media di Parc des Princes.
“Perlawanan ini adalah antara aksi terbaiknya dalam sejarah Croatia. Dia beraksi dengan baik dan dia menjadi pemimpin kami.
“Dia meledak gol ajaib yang menjadi gol tunggal perlawanan. Kami memerlukan Luka yang beraksi pada tahap terbaik.
“Pasukan beraksi dengan baik dan agresif apabila Luka turut beraksi dengan cemerlang.”
Croatia yang seharusnya menang lebih selesa apabila dua cubaan mereka terkena palang menerusi Darijo Srna dan Ivan Perisic akan bertemu Republik Czech, Jumaat ini sementara Turki akan berdepan juara bertahan, Sepanyol. – AFP