GARA-GARA berang anak berkahwin dengan lelaki pilihan sendiri, seorang ibu warga Pakistan bertindak membakar anak perempuannya berusia 16 tahun hidup-hidup.
Ibu berkenaan, Perveen Bibbi kemudiannya keluar dari rumahnya sambil menjerit ke arah jiran-jiran memaklumkan dia telah membunuh anaknya kerana memalukan keluarga.
Dalam kejadian itu, Perveen bertindak mengikat anaknya di atas katil, sebelum mencurahkan minyak tanah lalu membakarnya di rumah mereka di Lahore, Rabu lalu.
Akibat tindakannya itu, Perveen kini ditahan pihak polis.
“Perveen telah membunuh anak perempuannya, Zeenat dengan membakarnya hidup-hidup pada pukul 9 pagi (waktu tempatan),” kata seorang pegawai kanan polis, Haidar Ashraf.
Mangsa mendirikan rumah tangga dengan lelaki bernama Hasan Khan pada 29 Mei lalu. Mereka dikatakan berkenalan sejak zaman sekolah.
Difahamkan, lelaki itu pernah menghantar lamaran tetapi ditolak oleh keluarga mangsa sebelum mereka memilih untuk berkahwin lari.
Menurut keluarga mangsa, punca utama perkahwinan mereka tidak direstui adalah kerana perbezaan etnik, Khan datang dari etnik Pashtun manakala Zeenat seorang Punjabi. – MYNEWSHUB.CC