EKORAN kesilapan menggunakan perkataan ‘kecuali’ dalam satu surat jemputan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini tampil memohon maaf bagi menjelaskan kekeliruan yang berlaku.
MBI menerusi kemas kini di laman Facebook menjelaskan bahawa pihaknya tidak melarang kakitangan memakai sari seperti ditulis dalam kad jemputan majlis Perhimpunan Khas Aidilfitri 2016 yang dijadualkan pada 1 Julai ini.
Ia sebenarnya merupakan satu konteks yang disalah faham mengenai kod pakaian dalam jemputan tersebut.
“Kekeliruan ini timbul akibat pemahaman ‘kecuali sari’ yang membawa maksud anggota boleh memakai sari yang bersesuaian tetapi kepada anggota yang bertugas di lapangan boleh membuat pilihan untuk memakai sari, pakaian pejabat atau bersesuaian di majlis tersebut,” tulis kenyataan tersebut.
MBI juga menyatakan tidak berniat untuk menyinggung sensitiviti mana-mana pihak memandangkan bulan ini adalah bulan yang menganjurkan umat Islam dan bukan Islam untuk bermaaf-maafan dan menghormati semua kaum.
Sehubungan itu, mereka berharap perkara ini dapat diselesaikan secara berhemah.
Terdahulu, kesilapan penggunaan perkataan ‘kecuali sari’ di dalam jemputan itu telah mengundang pelbagai kritikan khususnya dari kalangan kaum India. – MYNEWSHUB.CC