KUALA LUMPUR – Keluarga banduan dan pesalah juvana dibenarkan melawat mereka pada 9 dan 10 Julai ini sempena sambutan Aidilfitri.
Menurut Jabatan Penjara, keutamaan lawatan pada hari itu diberi kepada banduan dan pesalah juvana yang beragama Islam, dan keluarga masing-masing dibenarkan melawat dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang.
“Semua pelawat diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut jabatan itu, pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman untuk banduan dan pesalah juvana, dan mereka boleh membelinya di kantin penjara.
“Pelawat juga tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara.
“Sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada banduan dan pesalah juvana atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, mereka perlu mendapat resit rasmi PPT 28 sebagai akaun penerimaan,” menurut jabatan itu.
Memandangkan pelawat ke penjara dan Pusat Pemulihan Akhlak dan Sekolah Henry Gurney tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara, maka pihak penjara mempunyai hak untuk membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara. – BERNAMA