NEW YORK – Ujian autopsi mendapati ikon pop, Prince, yang ditemui mati di rumahnya di pinggir Minneapolis hujung April lalu, meninggal dunia disebabkan penggunaan ubat penahan sakit yang berlebihan.
Penyanyi legenda berusia 57 tahun itu itu meninggal dunia sebagai satu kemalangan yang berpunca daripada ketagihan ubat Fentanyl bagi mengelak daripada gangguan kesakitan (opioid), demikian menurut Pejabat Pemeriksaan Kesihatan Minnesota dalam satu kenyataan hari ini.
Pemeriksa kesihatan memberi beberapa perkara lagi mengenai punca kematian secara terperinci kepada Jabatan Sheriff Carver County di Minnesota yang masih menjalankan siasatan.
Fentanyl, sejenis dadah sintetik yang lebih kuat berbanding morfin dan digunakan untuk merawat mereka yang mengalami kesakitan kronik.
Ia hanya boleh didapati menerusi preskripsi. Prince ditemui meninggal dunia di rumah agamnya di Paisley Park pada 21 April lalu, sehari selepas pesawat peribadinya melakukan pendaratan cemas yang juga dilaporkan disebabkan pengambil ubat penahan sakit berlebihan.
Seorang doktor dari California yang merawat mereka yang ketagihan ubat penahan sakit, Dr Howard Kornfeld, dikatakan bersedia untuk melakukan rawatan pemulihan untuk Prince namun Prince meninggal dunia, kata peguam Howard bulan lalu.
Anak Kornfeld, Andrew yang tiba di Paisley Park untuk menerangkan bentuk rawatan yang diperlukan kepada Prince namun menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum memanggil talian kecemasan 911.
Prince dilihat dalam keadaan sihat ketika di tempat awam dan terkenal dengan kecergasannya ketika melakukan persembahan yang berlangsung berjam-jam dan ada kalanya melakukan persembahan dua kali semalam. Namun Prince pernah menjalani pembedahan pada 2010 dan terkenal sebagai seorang yang berahsia mengenai hidupnya. – AP