KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) terhadap pemilik portal Edge Insider Sdn Bhd dan pengarang beritanya Amin Shah Iskandar selesai selepas mereka bersetuju menerbitkan permohonan maaf.
Edge Insider Sdn Bhd dan Amin Shah yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua setuju terdapat kenyataan yang tidak benar dalam artikel yang diterbitkan mengenai pelantikan MRCB dan sebuah syarikat lain untuk pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dari Bandar Utama ke Johan Setia.
Mengikut perintah persetujuan mahkamah yang diperoleh media, permohonan maaf kedua-dua defendan akan diterbitkan dalam The Edge Financial Daily dan portal The Edge Market.
Prosiding yang berlangsung di kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’hara, dihadiri peguam Sunil Abraham dan Chuar Pei Yean yang mewakili MRCB manakala peguam Kimberly Lee dan Priyanka Sivanth bertindak bagi pihak defendan.
Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes.
Dalam perintah persetujuan itu defendan pertama mengesahkan laman sesawang Malaysian Insider tidak lagi beroperasi dan artikel yang diterbitkan sebelum ini juga tidak boleh diakses.
Amin Shah pula bersetuju tidak mengulangi atau menerbitkan perkataan menfitnah plaintif dan/atau menyebabkan penerbitan kandungan dan ulasan sama ada
secara keseluruhan atau sebahagian yang telah dinyatakan dalam kedua-dua artikel.
Mahkamah membatalkan saman itu dan mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua plaintif dan defendan kerana bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan tanpa sebarang pampasan dan kos.
Pada November 2015, MRCB selaku plaintif telah memfailkan saman itu mendakwa kesemua defendan telah menerbitkan dan/atau menyebabkan kenyataan yang diketahui adalah palsu atau dengan melulu tanpa mengambil kisah sama ada kenyataan itu adalah benar dengan motif utama untuk merosakkan plaintif dan reputasinya serta memalukan plaintif dari segi perdagangan, perniagaan dan nama baiknya.
MRCB menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk untuk libel dan niat jahat, perintah mengarahkan kedua-dua defendan menarik balik semua perkara yang terkandung dalam artikel yang disiarkan, kos dan relif lanjut yang dianggap wajar dan adil. – BERNAMA