JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berada dalam keadaan stabil dan tidak ada yang perlu dibimbangkan, kata Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Katanya, beliau sudah melawat Sultan Ibrahim di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, kelmarin.
“Saya melawat Tuanku pada Jumaat lalu dan ketika itu keadaan baginda stabil.
“Mungkin Tuanku keletihan kerana pada bulan puasa ini, Tuanku banyak pergi ke bazar Ramadan, selain keadaan cuaca panas.
Biarlah Tuanku berehat dan sembuh. Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan,” katanya.
BERKAITAN: Jangkitan Virus, Gastritis: Sultan Johor Ditahan Di Wad
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program perintis lawatan ke perkampungan tradisional di Kampung Kuala Masai di sini, hari ini.
Kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Sultan Johor semalam memaklumkan, baginda dimasukkan ke HSA pagi kelmarin kerana jangkitan virus dan gastrisis atas nasihat doktor yang merawat baginda.
Sultan Ibrahim dijangka mendapatkan rawatan di HSA sehingga hari ini. – Berita Harian