KUALA LUMPUR – Operator kios air suling tidak lagi dibenarkan mengambil bekalan air untuk mesin tersebut dengan membuat sambungan daripada akaun air premis sedia ada.
Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, operator terbabit perlu memohon akaun bekalan air dan memasang meter air individu berasingan untuk setiap kios air suling.
“Di bawah Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi dan Pemasangan Paip) 2014, Peraturan 98, operator kios air suling tidak lagi dibenarkan menyambung kios air ke bekalan atau akaun air premis sedia ada.
“Peraturan 98 yang dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mewajibkan operator kios air membuka akaun bekalan air dan memasang meter air individu berasingan untuk setiap kios air suling.
“Penguatkuasaan ini adalah selaras dengan Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Deposit, Fi dan Caj Perkhidmatan Air) 2014. Operator yang gagal mematuhi dengan peraturan (Peraturan 98 Kios Air) dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 89 (2) (e) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Amin Lin berkata, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) menyeru semua operator kios air suling supaya memohon akaun bekalan air baharu bagi setiap kios air suling untuk mengelakkan sebarang kesulitan akibat dari tindakan penguatkuasaan peraturan tersebut.
Menurutnya, permohonan akaun bekalan air telah dimudahkan dan lebih cepat kerana pperator kios air suling boleh memohon akaun bekalan air dengan mudah melalui Portal Talian Terus Khidmat Pelanggan iaitu www.syabas.com.my.
Katanya, pemohon hanya perlu melengkapkan borang dan menghantar secara atas talian disusuli dengan penghantaran melalui pos dua salinan ‘Surat Perjanjian Bekalan Air’ asal dan ‘Surat Kebenaran dan Aku janji’ jika perlu kepada Jabatan Perkhidmatan Perhubungan Pelanggan Syabas.
“Jika operator kios air suling gagal memohon akaun bekalan air dan memasang meter air individu berasingan untuk setiap kios air suling, Syabas tiada pilihan lain selain daripada memotong bekalan air ke kios air suling dan/atau mengambil tindakan ke atas operator kios air suling dan/atau penghuni premis bagi kesalahan di bawah Seksyen 89 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya. – mynewshub.cc