KEGILAAN masyarakat sekarang merakam apa sahaja perkara yang dirasakan satu isu buat mereka lantas dimuatnaik ke laman sosial, sebenarnya ada manfaat jika ia didasari atas niat yang baik.
Antaranya apa yang dilakukan pengguna Facebook Ahmad Fadali ini. Beliau yang tersentuh hati melihat empat kanak-kanak berniaga bubur lambuk di tepi jalan, menyeru supaya sesiapa yang lalu membeli jualan mereka untuk meringankan beban anak-anak berkenaan.
Posting dibuat Ahmad Fadali berbunyi; “Lalu dekat Bukit Rangin, nampak 4 beradik ni jual bubur lambuk cari rezeki. Kesian tengok dorang. Pada sesapa yang lalu, bolehlah beli atau bantu apa yang patut. Anak yatim” itu segera menarik perhatian netizen sehingga menjadi viral dan mendapat ribuan Shares.
Rata-rata simpati melihat keadaan anak-anak yang masih mentah usianya, terpaksa bersusah payah mencari rezeki hingga tertidur keletihan.
Apabila kisah anak-anak ini viral, banyak maklumat mulai muncul dan memudahkan lagi mereka yang ingin membantu.
Akhirnya maklumat mereka diketahui. Adik beradik ini tinggal di Batu 6 Jalan Gambang, Kuantan dan berusia 7 tahun, 12 tahun dan 13 tahun sementara seorang lagi di dalam gambar merupakan sepupu mereka.
Anak-anak ini adalah anak yatim yang sudah kehilangan bapa. Jualan makanan yang tidak habis dijual oleh mereka akan dihantar ke masjid.
Mereka yang ingin membantu bolehlah memberi sumbangan menerusi akaun bank ibu mereka BSN 06112-29-00015266-1 (Noridah Mohd Nor) yang juga boleh dihubungi menerusi nombor telefon 011-12984883.
Tinjauan Mynewshub menemukan anak sulung dikenali sebagai Baha yang disifatkan ibunya, Noridah sebagai seorang anak yang berhati kental.
Dalam pada itu ada juga yang memberi komen bahawa anak-anak ini sudah lama berniaga di jalanan dan ibunya ada menerima bantuan bulanan dari pihak yang berkenaan.
Bagaimanapun bagi kami, tidak ada salahnya jika ingin meringankan beban golongan kurang bernasib baik apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.
Jika wang bantuan bulanan diterima sekalipun, renung-renungkanlah mengapa ibu mereka tergamak membiarkan anak susah payah berjualan begitu jika bantuan yang diterima sudah mencukupi.
Berdasarkan info lengkap di atas, diharapkan ianya dapat membantu sesiapa sahaja yang ingin membuat amal jariah dengan membantu anak-anak yatim ini. – MYNEWSHUB.CC