Oleh: Zainal Rashid Ahmad
666 angka melambangkan syaitan dalam digit mitos Inggeris. Digit ini berkembang menjadi legasi dalam konotatif apabila hitungan angka mahu dikaitkan dengan kuasa kejahatan. Dalam konteks artikel ini, 666 mewakili konspirasi ‘industri’ maksiat yang sedang mengatur gerak kerja untuk menyerang sebarang bentuk usaha dalam merealisasikan pindang Rang Undang-undang 355 dalam usaha mengukuhkan institusi Mahkamah Syariah.
Apa releven RUU 355 yang memerlukan pindaan? Jawapannya mudah. RUU 355 diperkenalkan pada 1965 bagi memastikan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan diperkasakan melalui Mahkamah Syariah.
Apakah RUU 355 tidak berperlembagaan? Jangan mengarut! RUU 355 dibentangkan di Parlimen sebelum digazet bagi membolehkan Mahkamah Syariah dibentuk di peringkat negeri. Malah, RUU 355 secara sejarahnya, sebelum wujud sudah pun melalui perbahasan parlimen. Ia khusus bagi perkara-perkara yang bersangkut dengan umat Islam tetapi tidak bertentangan dengan Undang-Undang Sivil Persekutuan.
Pernahkan RUU 355 ini dipinda? Jawapannya ya! Selepas wujud pada 1965, RUU ini dipinda pada tahun 1984 bagi menaikkan kadar denda, tempoh hukuman penjara dalam jumlah sebatan. Pindaan 1984 mencipta angka unik bagi RUU 355 dengan digit 356. Iaitu hukuman denda dengan tidak melebihi RM3 ribu, penjara tidak melebihi 5 tahun dan sebat tidak melebihi 6 rotan.
Apa alasan pindaan pada 1984? Jawapannya: Supaya jumlah denda RM1 ribu, penjara setahun dan sekali rotan dapat diubah sesuai dengan perkembangan sosio-ekonomi selepas 19 tahun dilaksanakan. Pindaan 1984 kerana keperluan meningkatkan berat hukuman supaya kaedah pencegahan terhadap khalwat, zina, fitnah zina, arak dan judi dapat dikawal agar tidak merosakkan akhlak umat Islam.
Jadi apabila pindaan usul terbaharu dibawa ke parlimen baru-baru ini, mengapa ia harus ditanggap seolah-olah langit sedang runtuh dan akan menimpa kepala rakyat Malaysia bukan Islam?
Jawapannya balik ke angka berhantu 666.
Apa relevannya? Mudah. Sekiranya hukuman lebih berat dikenakan kepada pelaku maksiat terutama umat Islam yang melanggan pelacur, ketegasan ini akan melumpuhkan “industri’ pelacur yang selama ini memanipulasi umat Islam dengan pelbagai tarikan maksiat.
Sekiranya denda yang tinggi, penjara yang lebih lama dan sebatan melebihi enam kali dikenakan, ketakutan akan menyebabkan ramai umat Islam menjauhi judi. Bolehkah dinafikan walaupun hukuman sedia ada dalam pindaan 1984 wujud, ia gagal mengurangkan jumlah umat Islam ke agensi nombor ramalan untuk berjudi. Umat Islam yang ingkar ini tidak takut kerana tarikan hadiah kemenangan yang besar serta hukuman denda Mahkamah Syariah yang rendah, penjara yang singkat serta sebat yang sedikit, mengabui mata mereka.
Teori yang sama akan berlaku pada premis jualan arak. Bolehkan kita nafikan, umat Islam tidak menyumbang kepada pendapatan industri minuman keras? Malah, minuman keras dengan persekitaran pusat hiburan yang penuh tarikan sensual, menyebabkan hukuman sedia ada dilihat berbaloi untuk dipertaruhkan.
666 menentang kerana RUU 355 ini akan menjejaskan pendapatan mereka. Malah boleh melumpuhkan sama sekali ‘industri maksiat’ di negara ini. RUU 355 tiada kaitan dengan Enekmen Hudud kerana secara lateral ia sudah wujud pada 1965 dan sudah pernah dipinda pada 1984.
Sekarang setelah 32 tahun tidak dipinda bagi meningkatkan jumlah denda, tempoh penjara dan sebatan, mengapa dipertikaikan? Ia berkait dengan umat Islam kerana undang-undang syariah dalam perlembagaan hanya tertakluk untuk diguna pakai terhadap umat Islam.
Kalau pun ada kaitan dengan yang lain, tentulah dengan mereka yang ada kepentingan dengan 666, golongan syaitan yang mempromosi maksiat, judi dan arak.
Secara relevan, hanya puak 666 sahaja yang benar-benar akan terjejas sekiranya RUU 355 diluluskan. Jika umat Islam takut melakukan maksiat zina dengan melanggan pelacur, takut pada hukuman penjara yang lebih panjang kerana judi atau disebat lebih banyak kerana kesalahan arak, yang akan lingkup tentulah ‘industri’ maksiat.
Jadi patutlah rangkaian 666 sangat takut. -MYNEWSHUB.CC