GEORGE TOWN – Kontroversi pembelian banglo di bawah nilai pasaran yang menjadi perdebatan hangat selama beberapa bulan akhirnya telah mengheret Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ke mahkamah hari ini.
Ia sekali gus menjadi penutup kepada episod penantian rakyat yang selama ini berteka-teki berhubung pembelian banglo berharga RM2.8 juta yang sebelum ini dimiliki ahli perniagaan wanita Phang Li Koon.
Lim yang memakai kot tiba di mahkamah pada jam 10.05 pagi bersama Phang bagi menghadapi pertuduhan rasuah berhubung isu tanah dan banglo berkenaan.
Beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini di atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
Bagi pertuduhan pertama Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.
Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.
Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Lim).
Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 28 Julai 2015.
Bagi pertuduhan kedua itu Lim didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu bekas pemilik banglo itu Phang turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.
Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azmi Ariffin membenarkan Lim diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu dan passportnya disimpannya sendiri tetapi dengan syarat tambahan iaitu beliau dikehendaki memaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara dan mahkamah dua hari sebelum ke luar negara.
Phang pula dibenarkan diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan.
Terdahulu Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak iaitu pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan jumlah jaminan bagi kedua-dua tertuduh.
Beliau juga memohon supaya kes itu dibicarakan bersama, bagaimanapun peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim dan Datuk K. Kumaraendran mewakili Phang memberitahu pihaknya memerlukan dokumen berkaitan kes itu sebelum kes itu dibicarakan bersama.
Mahkamah menetapkan 22 September ini untuk pengurusan kes bagi membolehkan kedua-dua pihak mendapatkan dokumen berkenaan.
Dalam penampilan pertamanya di mahkamah, Mohamed Apandi memberitahu media kedua-dua tertuduh tidak perlu hadir pada pengurusan kes itu yang akan disebut di hadapan Azmi.
Ini merupakan kes pertama yang dikendalikan Mohamed Apandi sejak dilantik sebagai Peguam Negara pada Julai tahun lepas.
Beliau dibantu oleh enam Timbalan Pendakwa Raya iaitu Masri Mohd Daud, Mohd. Dusuki Mokhtar, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Mohd. Zain Ibrahim dan Muhammad Fadzlan Mohd Noor.
Lim pula diwakili oleh Gobind Singh yang dibantu lima peguam, Ramkarpal Singh, RSN Rayer, M.Manoharan, P.Subramaniam, dan M.Kulasegaran manakala Phang diwakili peguam Kumaraendran, K.Dave Kumar, Raj Shankar dan Cheetanjethawani.
Lim dan Phang membayar jaminan masing-masing.
Terdahulu Lim dan Phang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen George Town atas pertuduhan yang sama bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka, Mohamed Apandi memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 60 Akta SPRM yang memberi kuasa kepada pendakwaan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
Roslan membenarkan permohonan itu dan memerintahkan kes itu disebut hari ini di Mahkamah Tinggi.
Dewan Mahkamah Sesyen penuh sesak oleh anggota keluarga dan rakan Lim dan Phang serta para wartawan sehingga menyebabkan ramai yang terpaksa berdiri termasuk media. – BERNAMA