KUALA NERUS – Sebanyak 82 kes kesalahan peniaga dikesan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu dalam operasi yang dilakukan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Raya Puasa bermula 16 Jun hingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepengunaan negeri, Roslee Daud, berkata dalam operasi sepanjang tempoh itu, pihaknya menyita pelbagai barangan dengan nilai RM6,519 dan kompaun dikenakan sebanyak RM8,650.
“Operasi dilakukan setiap hari dan setakat ini kami membuat pemeriksaan di lebih 5,000 premis termasuk pasar basah, pasar tani dan bazar Ramadan seluruh negeri dengan kekuatan 102 anggota KPDNKK Terengganu.Â
“Operasi ini bertujuan memastikan peniaga mematuhi arahan kawalan harga yang ditetapkan sekali gus melindungi pengguna daripada ditipu serta peningkatan harga melampau pada musim ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Apresiasi Friends of KPDNKK di sini malam tadi.
Tempoh pelaksanaan SKHMP selama 21 hari bagi musim perayaan dan ia berkuat kuasa 20 hari sebelum perayaan serta pada hari raya pertama mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Tambah Roslee, antara kesalahan yang dilakukan peniaga ialah gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga kawalan dan menjual barang pada harga lebih tinggi yang ditetapkan daripada harga kawalan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Roslee berkata KPDNKK menyasarkan penyertaan 4,000 anggota ‘Friends of KPDNKK menjelang akhir tahun ini dan setakat ini seramai 1,816 sukarelawan mendaftar di Terengganu.
“Apabila mendaftar dengan KPDNKK, sukarelawan ini akan dapat membantu agensi ini untuk memantau harga barangan serta isu-isu kepenggunaan yang lain, secara langsung dapat memantapkan lagi tugas yang selama ini dipikul oleh 102 petugas KPDNKK seluruh Terengganu.Â
“Program sukarelawan ini adalah penjenamaan semula Skuad Pengguna yang pernah diwujudkan sebelum ini dan kali ini kami turut mempunyai rakan strategik terdiri daripada 30 syarikat perniagaan yang menjalin kerjasama dengan KPDNKK untuk manfaat orang ramai.
“Antara faedah diperoleh oleh ‘Friends of KPDNKK’ mereka mempunyai satu kad yang membolehkan mereka mendapat diskaun daripada syarikat rakan strategik kami dan diberi keutamaan untuk menyertai program agensi berkaitan kepenggunaan dan penguatkuasaan undang-undang untuk membantu agensi ini,” katanya. – BERNAMA