KUALA KANGSAR – Ketika penyokong pembangkang kutuk Barisan Nasional (BN) kerana ‘murah hati’ beri wang saku menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), lain pula cerita jika melibatkan parti mereka itu sendiri.
Terbaharu puluhan penyokong PAN yang menghadiri ceramah Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar malam Ahad gembira menerima ‘rasuah’ atau dijenamakan semula sebagai buah tangan cukup unik!
Sama ada hendak ketawa atau geleng kepala, cenderamata tanda ingatan pihak kepimpinan pembangkang berupa seikat sawi itu disambut dengan penuh kesyukuran konon demi meneruskan sara hidup atas kezaliman rejim BN.
Situasi tidak dijangka itu menarik perhatian ramai petugas media tempatan yang hadir membuat liputan ceramah berkenaan kerana selama ini pembangkang sering mengecam pemberian BR1M daripada pihak BN sebagai rasuah.
Sayur sawi segar itu difahamkan telah dibawa khas oleh kumpulan pekebun kaum Cina yang juga penyokong tegar pakatan berkenaan dari Cameron Highlands, Pahang iaitu kira-kira 132 kilometer dari Bandar Diraja Perak tersebut.
Daerah tanah tinggi itu pernah mencetuskan kontroversi pada 2014 lalu apabila pihak berkuasa terpaksa membuat operasi pemutihan kawasan sayur-sayuran yang diusahakan secara haram sehingga mencetuskan banjir besar.
Sayur berkenaan kemudian dilihat segera diedarkan kepada pengunjung ketika ceramah sedang berlangsung dan beberapa penyokong yang ditemui memberitahu mereka mula mendapat sawi itu kira-kira pukul 9.30 malam.
“Sawi ini diberi secara percuma oleh penyokong Pakatan Harapan. Mereka bawa dua bakul besar. Tadi ada petugas beri kepada kami, waktu ceramah berlangsung,” jelas seorang penyokong PAN yang menerima sawi itu.
Walaupun dalam keadaan hujan renyai, kira-kira 200 hadirin majoritinya kaum Tionghua yang datang bersama payung untuk mendengar ceramah tersebut bermula seawal pukul 8 malam ‘ceria’ menerima hadiah sayur itu.
Secara purata, indeks harga sawi hijau cerah berdasarkan data terkini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ialah RM4.95 sekilogram, peningkatan beberapa puluh sen ekoran fenomena cuaca tidak menentu ketika ini.
Dalam ceramah tersebut yang diadakan di Jalan Dato’ Sagor di sini, antara pemimpin yang hadir ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan calon Parti Amanah Negara (PAN), Prof. Dr. Ahmad Termizi Ramli. – Mynewshub.cc/HAA
#PRKKUALAKANGSAR